Minggu, 18 November 2012

Kemuliaan Ilmu


Islam amat memuliakan ilmu dan orang yang berilmu amat dihormati. Bahkan islam menuntut umatnya supaya beritiqamah dalam menuntut ilmu. Beristiqamah dalam menuntut ilmu bermaksud belajar secara berterusan. Dalam arti kata lain, belajar sepanjang hayat.

Menuntut ilmu tiada had masa dan sepadan waktu. Kita sebagai umat Islam yang yakin dengan ganjaran pahala daripada Allah perlu merebut ganjaran besar yang ditawarkan oleh allah kepada orang yang beristiqamah dalam menuntut ilmu. Mereka seolah-olah pejuang di jalan Allah, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Anas ibn Malik (yang bermaksud):

“Sesiapa yang keluar (dari rumahnya) untuk menuntut ilmu, dia sebenarnya berada di jalan Allah sehinggalah dia kembali (ke rumahnya).”

Ini adalah satu ganjaran besar kepada orang yang menuntut ilmu dan beristiqamah dalam menuntut ilmu. Sebenarnya tidak ada dalam fahaman Islam istilah berhenti belajar.Bukan sahaja orang jahil yang perlu belajar,bahkan orang ilmu pun perlu terus istiqomah belajar, kerana ilmu amat diperlukan oleh semua manusia. Imam Sufiyan Ibnu Uyaiyah pernah ditanya:

“Siapakah di kalangan manusia yang amat berhajat kepada ilmu? Beliau menjawab: “Orang yang paling alim.” Beliau ditanyanya lagi. “Mengapa?” Jawab Sufiyan: “Kerana kesalahan yang terbit daripada orang alim itu adalah amat buruk.”

Orang yang alim biasanya selalu dirujuk oleh masyarakat. Mereka sering diminta untuk menjelaskan sesuatu hukum. Jika mereka memberikan sesuatu hukum atau pandangan yang silap, ia akan beramal dengan hukum yang salah. Sehubungan itu, Imam Ibnu Abdulbarra yang meriwayatkan daripada Abu Ghassana, berkata:

“Kamu dikira sebagai seorang yang berilmu selama mana kamu belajar. Apabila kamu merasai sudah cukup dengan ilmu, maka kamu pada ketika itu telah menjadi jahil.”

Imam Malik r.a pula telah membuat peringatan kepada orang yang berilmu supaya terus belajar dengan katanya:

“Tidak wajar bagi seorang yang mempunyai ilmu berhenti belajar.”

Jika orang yang berilmu dituntut untuk terus belajar dan mengemaskini ilmu yang mereka miliki, sudah tentu orang yang kurang ilmu pengetahuan lebih dituntut untuk menuntut ilmu. Orang yang jahil tidak boleh berada dalam kejahilan sepanjang hayatnya,sedangkan dia ada jalan untuk keluar daripada kejahilan itu. Apakah dia ingat mati dalam kejahilan? Apakah sepanjang hidupnya sentaisa berpegang dengan sesuatu yang salah?

Oleh itu, untuk menghindarkan diri kita daripada terperangkap dalam kejahilan tentang agama,kita hendaklah   memperuntukkan masa untuk menuntut ilmu fardu ain yang biasanya diadakan di masjid atau surau yang berdekatan dengan kita.

Janganlah kita merasakan bahawa kita sudah pun memiliki keluasan yang tinggi atau pun telah memegang jawatan yang tinggi, maka tidak perlu lagi untuk duduk dalam majlis-majlis ilmu yang dianjurkan di masjid ataupun surau.

Banyak bidang ilmu fardu ain yang perlu kita selesaikan dalam diri kita, sekurang-kurangnya dalam tiga bidang asas, iaitu ilmu yang berkaitan akidah, ibadat dan akhlak. Belajarlah akidah yang menjadi tunggak agama islam sehingga kita dapat kenal Allah dengan sebenar-benarnya,d apat membezakan antara keimanan dan kekufuran,dapat kenal perbuatan syirik dan seumpamanya. Sementara itu fardu ain yang berhubung dengan ibadat pula, pelajarilah ilmu yang berhubung dengan ibadat solat dan puasa sehingga kita yakin amal ibadat kita sah dan diterima oleh Allah s.w.t. Demikianlah juga dengan akhlak atau tasawuf. Kenalilah sifat-sifat mahmudah (sifat terpuji) dan juga sifat mazmumah (sifat yang keji).

Menuntut ilmu fardu ain ini, bukan hanya untuk diri kita sahaja, bahkan diwajibkan juga kepada anak dan isteri kita termasuk orang yang di bawah tanggungan kita. Mereka juga perlu belajar untuk menjadi seorang muslim yang tahu hukum-hukum,perintah dan larangan Allah, bahkan menjadi kewajipan ketua keluarga untuk memastikan ahli keluarganya terselamat daripada kemurkaan Allah. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Wahai orang yang beriman!,peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka, yang bahan-bahan bakarnya ialah manusia dan batu (berhala), neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkannya kepada mereka dan merela pula tetap melakukan segala yang diperintahkannya.”

Ayat ini merupakan peringatan kepada sekalian umat islam supaya menyelamatkan diri mereka serta keluarga masing-masing daripada bahaya melanggar perintah-perintah allah. Tiap-tiap orang wajib mengetahui serta mengajar anak isteri dan ahli keluarganya dengan ajaran dan adab peraturan Islam supaya ia dan keluarganya terselamat daripada kemurkaaan Allah dan azab-Nya.

Sekiranya seseorang itu tiada kemampuan untuk mengajar ahli keluarganya sama ada disebabkan dia sendiri tidak mengetahuinya atau disebabkan kesibukannya, maka hendaklah dia menghantarkan keluarganya untuk belajar dengan orang lain atau pun membiayai orang yang boleh membimbing ahli keluarganya dengan ilmu fardu ain yang dituntut ke atas setiap orang Islam yang mukallaf.

Amatlah beruntung orang yang istiqomah dalam menuntut ilmu sehingga mereka dapat merasai kemanisan ilmu, merasai kenikmatan dan ketenangan majlis ilmu lantaran oara malaikat menghamparkan sayapnya ketik majlis ilmu sedang berlangsung.Mereka akan memperolehi banyak kelebihan dan keberkatan.Ibnu Abdul Barra pernah menceritakan bahawa saidina Muaz bin Jabal pernah berpesan:

“Tuntutlah ilmu, kerana orang yang menuntut ilmu kerana Allah, akan menjadikannya orang yang takut kepada Allah. Menuntut ilmu adalah ibadat, perbincangan ilmu adalah tasbih, perbahasan mengenainya adalah jihad, mengajar orang yang tidak mengetahui merupakan sedekah…”

Muaz menjelaskan seterusnya:

“Ilmu itu menghidupkan hati yang jahil, sebagai pelita di dalam kegelapan, mengangkat seseorang yang berilmu itu sehingga kepada peringkat orang yang terpilih, darjat yang tertinggi didunia dan akhirat.”

Berfikir tentang ilmu seumpama puasa, berterusan dalam menuntut ilmu seumpama qiamullail, dengan ilmu juga menjadikan seseorang itu mengetahui perkara-perkara yang halal atau pun yang haram.Ilmu umpama imam bagi amal, amal mengikut ilmu,ilmu mengasyikkan orang yang bahagia. Orang yang jahil pula memusuhinya.

Tuntutlah ilmu selagi mana allah masih memberikan kesempatan kepada kita, selagi kita sihat dan berkelapangan. Jadikanlah diri kita orang yang cintakan ilmu, cintakan majlis ilmu, cintakan orang yang berilmu,cinta kepada orang yang cintakan ilmu, Tuntutlah ilmu dan kuasai ilmu,jika mampu, sebarkanlah pula kepada orang lain.Jadikanlah istiqomah sebagai kunci kepada kejayaan,manakala kesungguhan sebagai bekalan.

Mudah-mudahan Allah membukakan hati kita dan hati keluarga kita untuk terus beristiqamah dalam menuntut ilmu, khususnya menyempurnakan ilmu fardu ain. Tidak sempurna ilmu, selagi mana ilmu fardu ain belum dikuasai, biarpun dia seorang pendeta ataupun cendekiawan.

“Katakanlah  lagi (kepada): “Adakah sama orang yang mengetahu dengan orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna”.  (az-Zumar: 9)

Wallahu a'lam bishshawaab


Tidak ada komentar: